Ketika masyarakat mendengar berita kematian yang berpunca dari tindakan bunuh diri, ada tiga (3) bentuk komentar yang akan dituliskan kepada si mati. Pertama; menyalahkan si mati atas tindakannya yang dianggap bodoh dan lemah iman. Kedua; cuba memahami keadaan si mati dan sebab yang membawanya kepada keputusan untuk membunuh diri. Ketiga; mendoakan tanpa perlu mempertikaikan apa-apa lagi kerana yang pergi tetap pergi.
Hal yang paling menyedihkan; bila mana lebih banyak yang memilih untuk meletakkan komentar pertama; iaitu menyalahkan si mati. Setiap kali terpampang berita bunuh diri, pasti beribu-ribu kutukan, hinaan, cacian dilontarkan kepada si mati. Padahal, masyarakat itu sendiri belum pernah mengenali diri si mati; bahkan tidak tahu sebab-sebab atas tindakannya itu. Masyarakat lebih mudah menyalahkan, berbanding memahami dan mendoakan. Itu realiti hidup yang terpaksa kita telan. Manusia; tak semuanya baik-baik belaka.
Tapi; untuk mereka yang pernah merasai bagaimana peritnya penyakit kemurungan (depresi) ini, mereka akan faham kenapa seseorang itu bertindak untuk bunuh diri. Ia jalan terakhir dan untuk melakukannya; bukanlah semudah memetik jari. Kebiasaannya, seseorang yang berniat untuk membunuh diri akan merancang kematiannya itu dan ia tidak dilakukan dengan tergesa-gesa. Bila mana kita mendengar niat seseorang untuk membunuh diri; percayalah - ia hanyalah niat yang sebenarnya TIDAK INGIN DILAKUKAN sama sekali.
Ya; seseorang yang depresi itu mungkin akan menyatakan niatnya untuk membunuh diri. Tapi percayalah, dalam hatinya menjerit TIDAK. Dia masih mahukan bantuan; masih inginkan seseorang untuk mendengar, memujuk dan memberikannya semangat untuk terus hidup. Maka, ketika kita mendengar ahli keluarga, rakan atau jiran yang tiba-tiba berniat untuk membunuh diri; cuba elakkan (3K) iaitu ketawa, kutuk dan keji. Tapi cubalah untuk duduk di sebelahnya, mendengar dan faham apa yang cuba diluahkan. Jika tak mampu melakukan apa-apa, cukup peluk dan tenangkan dia. Buat dia rasa dihargai, disayangi. Bukan ketawa dan mempersendakan niatnya itu.
Ingat; manusia yang sihat dari segi mental TIDAK AKAN berfikir untuk membunuh diri. Saya percaya, mereka yang telah meninggal dunia akibat bunuh diri pasti memiliki sejarah atau trauma hidup yang sangat berat; sehingga memaksa mereka untuk menoktahkan nyawa. Paling penting, mereka ini golongan yang memerlukan sokongan MENTAL yang kuat dari orang sekeliling. Ingat sekali lagi; depresi adalah penyakit dan memerlukan rawatan khusus. Depresi atau bunuh diri; tidak ada kaitan dengan masalah lemah iman. Penyakit tetap penyakit. Kita cuba faham bukan membahan. Kita cuba kaji bukan keji.
Mereka yang tidak pernah merasai sakitnya depresi, tidak akan mengerti bagaimana seksanya penyakit ini - dan mereka inilah golongan yang akan mentertawakan berita-berita bunuh diri yang terpampang di akhbar dan media. Sebab apa? Sebab mereka tidak rasa apa yang pesakit-pesakit mental rasa. Ringkasnya; kita tak duduk dalam badan yang sama. Hanya yang sakit akan faham kesakitannya. Cuma saya tidak bersetuju dengan tindakan memperlekehkan penyakit orang ini. Tunggulah sampai kena dekat badan sendiri, baru faham dan merintih.
Untuk yang telah pergi akibat bunuh diri, kita doakan saja yang baik-baik untuk mereka. Tak perlu menggantikan kerja Tuhan untuk menghukum dosa orang; kerana dosa kita sendiri pun tidak nampak dek mata, tidak rasa dek lidah. Kematian ini, semua kita akan merasainya. Cuma bila dan bagaimana; Tuhan menentukan segalanya. Jadi selama hidup di bumi Tuhan, jadilah versi diri kita yang terbaik; yang mampu memberikan kebaikan untuk orang sekeliling. Ya; jika tak mampu menjadi matahari yang menerangi seisi dunia; cukuplah menjadi lentera yang menerangi sekitar kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan